Makalah : Al-Quran
Tafsir Surah Al-Naba' (Siri 1)
19 Feb 2010
Ustaz Dr. Abdullah Yasin
عَمَّ يَتَسَآءَلُونَ (١) عَنِ ٱلنَّبَإِ ٱلۡعَظِيمِ (٢) ٱلَّذِى هُمۡ فِيهِ مُخۡتَلِفُونَ (٣) كَلَّا سَيَعۡلَمُونَ (٤) ثُمَّ كَلَّا سَيَعۡلَمُونَ (٥) أَلَمۡ نَجۡعَلِ ٱلۡأَرۡضَ مِهَـٰدً۬ا (٦) وَٱلۡجِبَالَ أَوۡتَادً۬ا (٧) وَخَلَقۡنَـٰكُمۡ أَزۡوَٲجً۬ا (٨) وَجَعَلۡنَا نَوۡمَكُمۡ سُبَاتً۬ا (٩) وَجَعَلۡنَا ٱلَّيۡلَ لِبَاسً۬ا (١٠) وَجَعَلۡنَا ٱلنَّہَارَ مَعَاشً۬ا (١١) وَبَنَيۡنَا فَوۡقَكُمۡ سَبۡعً۬ا شِدَادً۬ا (١٢) وَجَعَلۡنَا سِرَاجً۬ا وَهَّاجً۬ا (١٣) وَأَنزَلۡنَا مِنَ ٱلۡمُعۡصِرَٲتِ مَآءً۬ ثَجَّاجً۬ا (١٤) لِّنُخۡرِجَ بِهِۦ حَبًّ۬ا وَنَبَاتً۬ا (١٥) وَجَنَّـٰتٍ أَلۡفَافًا (١٦) إِنَّ يَوۡمَ ٱلۡفَصۡلِ كَانَ مِيقَـٰتً۬ا (١٧) يَوۡمَ يُنفَخُ فِى ٱلصُّورِ فَتَأۡتُونَ أَفۡوَاجً۬ا (١٨) وَفُتِحَتِ ٱلسَّمَآءُ فَكَانَتۡ أَبۡوَٲبً۬ا (١٩) وَسُيِّرَتِ ٱلۡجِبَالُ فَكَانَتۡ سَرَابًا (٢٠)
NAMA SURAH
Surah ini mempunyai dua nama:
- Surah ‘Amma Yatasaa-alun : Diambil daripada perkataan ‘Amma Yatasaa-alun yang terdapat pada ayat yang pertama surah ini.
- Surah Al-Naba’: Yang diambil dari perkataan Al-Naba’ yang terdapat pada ayat ke duanya.
Menurut urutannya di dalam Al-Qur’an, surah ini adalah surah yang ke 78; Jumlah ayatnya: 40 ayat, diturunkan di Mekkah sesudah surah Al-Ma’aarij.
SEBAB TURUN AYAT
Sebagaimana kita maklumi bahawa menurut ajaran Islam, beriman kepada hari akhirat adalah salah satu rukun iman yang utama di dalam ajaran Islam setelah iman kepada Allah. Itulah sebabnya iman kepada hari akhirat disebut di dalam Al-Qur’an dan di dalam Hadis bergandingan dengan iman kepada Allah.
Sedangkan golongan musyrikin Makkah tidak percaya kepada hari akhirat atau kebangkitan sesudah mati. Mereka bertanya sesama mereka tentang itu. Lalu untuk menjawab pertanyaan tersebut maka Allah S.W.T menurunkan ayat-ayat berikut.
TAFSIR AYAT
عَمَّ يَتَسَآءَلُونَ (١) عَنِ ٱلنَّبَإِ ٱلۡعَظِيمِ (٢) ٱلَّذِى هُمۡ فِيهِ مُخۡتَلِفُونَ (٣)
1. Tentang apakah mereka saling bertanya-tanya? 2. Tentang berita yang besar.
3. Yang mereka perselisihkan tentang ini.
Allah S.W.T. membantah perkara yang dipertanyakan oleh Musyrikin Makkah dan umat yang seumpamanya iaitu hari kebangkitan. Mereka berbantah-bantahan tentang hari sesudah mati, ada diantara mereka yang percaya dan membenarkannya dan ada pula diantara mereka yang mengingkari dan mendustakannya. Allah menceritakan tentang golongan ini di dalam Al-Qur’an:
إِنۡ هِىَ إِلَّا حَيَاتُنَا ٱلدُّنۡيَا نَمُوتُ وَنَحۡيَا وَمَا نَحۡنُ بِمَبۡعُوثِينَ (٣٧)
37. Kehidupan itu tidak lain hanyalah kehidupan kita di dunia ini, kita mati dan kita hidup dan sekali-kali tidak akan dibangkitkan lagi. (Al-Mukminun /
Menurut Qatadah dan Ibn Zaid : makna berita yang besar (Al-Naba’) itu adalah kebangkitan sesudah mati; Sedangkan menurut Mujahid pula maknanya ialah Al-Qur’an. Menurut Imam Ibn Katsir : Pendapat pertama iaitu (Al-Naba’) dengan makna sesuadah mati adalah lebih kuat1.
Orang-orang yang tidak beriman tetap saja mendustakan hari kebangkitan walaupun didatangkan kepada mereka semua ayat sehingga mereka melihat sendiri seksaan yang pedih. Oleh itu Allah S.W.T. berfirman:
كَلَّا سَيَعۡلَمُونَ (٤) ثُمَّ كَلَّا سَيَعۡلَمُونَ (٥)
4. Sekali-kali tidak; kelak mereka akan mengetahui, 5. Kemudian sekali-kali tidak; kelak mereka Mengetahui.
Di dalam ayat ini Allah S.W.T. memberi ancaman yang sangat keras kepada golongan yang mengingkari adanya hari kebangkitan. Penggunaan perkataan (كَلَّا ) : sekali-kali tidak, mengandungi makna ancaman yang sangat keras, lebih-lebih lagi perkataan itu diulangi sampai dua kali. Adapun perkataan (ثُمَّ ) ; kemudian, pula sebagai kata sambung di antara dua ancaman itu memberi isyarat bahawa ancaman kedua lebih berat lagi daripada ancaman pertama. 2
Maksud ayat: Allah membantah dengan nada yang sangat keras : Sekali-kali tidak sebagaimana yang mereka anggap itu. Tidak sewajarnya mereka mengingkari dan mendustakan hari kebangkitan. Kelak mereka pasti akan mengetahui akibat pendustaan tersebut setelah tiba masanya seksaan yang pedih menimpa mereka. Ketika itu akan dikatakan kepada mereka:
هَـٰذِهِ ٱلنَّارُ ٱلَّتِى كُنتُم بِہَا تُكَذِّبُونَ (١٤)
14. (Dikatakan kepada mereka): "Inilah neraka yang dahulu kamu selalu mendustakannya". (Al-Thur / 52 : 14)
menurut Syeikh Al-Jazairi : Perkataan (كَلَّا) : sekali-kali tidak di sini dengan makna : kebenaran. Maksudnya: Merka kelak akan mengetahui kebenaran apa yang mereka dustakan dan ingkari itu.3
Selanjutnya Allah S.W.T. menyebut kekuasaan-Nya yang agung dan luar biasa sebagai bukti kemampuan-Nya untuk membangkitkan kembali manusia sesudah mereka mati. Di ayat-ayat berikut Allah menjelaskan sembilan perkara yang membuktikan adanya kebangkitan yang mereka ingkari itu:
أَلَمۡ نَجۡعَلِ ٱلۡأَرۡضَ مِهَـٰدً۬ا (٦) وَٱلۡجِبَالَ أَوۡتَادً۬ا (٧) وَخَلَقۡنَـٰكُمۡ أَزۡوَٲجً۬ا (٨) وَجَعَلۡنَا نَوۡمَكُمۡ سُبَاتً۬ا (٩) وَجَعَلۡنَا ٱلَّيۡلَ لِبَاسً۬ا (١٠) وَجَعَلۡنَا ٱلنَّہَارَ مَعَاشً۬ا (١١) وَبَنَيۡنَا فَوۡقَكُمۡ سَبۡعً۬ا شِدَادً۬ا (١٢) وَجَعَلۡنَا سِرَاجً۬ا وَهَّاجً۬ا (١٣) وَأَنزَلۡنَا مِنَ ٱلۡمُعۡصِرَٲتِ مَآءً۬ ثَجَّاجً۬ا (١٤) لِّنُخۡرِجَ بِهِۦ حَبًّ۬ا وَنَبَاتً۬ا (١٥) وَجَنَّـٰتٍ أَلۡفَافًا (١٦)
6. Bukankah kami Telah menjadikan bumi itu sebagai hamparan?, 7. Dan gunung-gunung sebagai pasak?, 8. Dan kami jadikan kamu berpasang-pasangan, 9. Dan kami jadikan tidurmu untuk istirahat, 10. Dan kami jadikan malam sebagai pakaian, 11. Dan kami jadikan siang untuk mencari penghidupan, 12. Dan kami bina di atas kamu tujuh buah (langit) yang kokoh, 13. Dan kami jadikan Pelita yang amat terang (matahari), 14. Dan kami turunkan dari awan air yang banyak tercurah, 15. Supaya kami tumbuhkan dengan air itu biji-bijian dan tumbuh-tumbuhan, 16. Dan kebun-kebun yang lebat?
Adapun sembilan perkara besar sebagi bukti kekuasaan Allah yang luar biasa itu tecantum di dalam ayat 6 hingga ayat 16 di atas, ialah:
1. Allah menjadikan bumi sebagai hamparan. Bumi ini walaupun bulat tetapi Allah jadikan dia datar bagaikan hamparan sehingga mudah bagi manusia dan binatang berlegar dan berjalan di atasnya.
2. Allah menjadikan gunung sebagai pasak bagi bumi. Kegunaan gunung bagi bumi bagaikan paku. Dia sangat berguna supaya bumi tidak goyang jika terjadi goncangan dari bahagian bawah bumi.
3. Allah menjadikan manusia berpasang-pasangan lelaki dan wanita agar terjalin kasih sayang dan timbul kecintaan diantara suami istri untuk menempuh hidup bahagia dan memelihara keturunan yang baik serta mempertahankan kelangsungan jenis manusia supaya tidak pupus.
4. Allah menjadikan tidur untuk kita berehat. Kalau pada waktu siang manusia sibuk bekerja untuk mencari rezki maka tidur pada waktu malam dapat mengembalikan tenaga untuk bekerja pada keesokan harinya. Tanpa tidur yang cukup maka akan tergendala dan merosot segala usaha pada hari-hari berikutnya.
5. Allah menjadikan malam sebagai pakaian. Malam dikatakan pakaian kerana malam yang gelap menutup permukaan bumi sama dengan peranan pakaian menutup tubuh manusia. Malam yang gelap dapat menutup dari pandangan orang yang mungkin melihatnya atau melindungi manusia daripada musuh yang mengancam.
6. Allah menjadikan siang untuk mencari rezki. Biasanya siang yang terang benderang dipergunakan oleh manusia untuk mencari rezki yang diperlukan dalam kehidupan dan untuk hidup bermasyarakat.
7. Allah menjadikan tujuh langit yang kukuh tanpa tiang tunduk dengan hukum Allah dan matahari sebagai pelita yang terang benderang menyebarkan cahaya dan panasnya ke seluruh angkasa. Cahaya matahari juga mengandungi ubat untuk membunuh kuman dan mengusir penyakit-penyakit yang dapat mengganggu makhluk sekiranya tidak cukup mendapat sinar matahari.
8. Allah menurunkan hujan dari awan mencurah-curah memberi manfaat kepada manusia dan binatang serta tumbuh-tumbuhan. Air adalah punca segala kehidupan. Allah menjadikan dengan air hujan itu segal biji-bijian seperti gandum, padi, tumbuh-tumbuhan, rumput untuk makanan manusia dan binatang.
9. Allah menjadikan kebun-kebun yang subur dan lebat rimbun pohon-pohonnya.
Di dalam ayat-ayat di atas Allah S.W.T. menyebut bemacam-macam nikmat yang Dia jadikan dan anugerahkan kepada umat manusia. Semoga dengan sembilan tanda-tanda kekuasaan-Nya itu agar dapat dijadikan oleh manusia sebagai bahan pemikiran dan renungan sehingga menimbulkan keyakinan bahawahari kebangkitan itu pasti
Imam Al-Naisaburi (wafat : 728H) berkata : Ketahuilah ! bahawa sesungguhnya sembilan perkara di atas jika ditinjau dari segi penciptaannya menunjkkan betapa hebat Zat yang menciptakannya dan jika ditinjau dari pula dari segi kehebatan dan kerapian kejadiannya menunjukkan betapa sempurna ilmu dan bijaksana penciptanya. Dan setelah nyata dan jelas kesempurnaan sifat-sifat tersebut maka pasti tidak akan ada lagi keraguan bagi siapa yang jujur memikirkannya tentang kemungkinan adanya hari kebangkitan. Ditambah pula Rasululah s.a.w. telahpun mengkhabrkan tentang kebangkitan itu maka wajib kita meyakininya secara putus (jazim) tanpa sedikitpun ragu. 4
إِنَّ يَوۡمَ ٱلۡفَصۡلِ كَانَ مِيقَـٰتً۬ا (١٧) يَوۡمَ يُنفَخُ فِى ٱلصُّورِ فَتَأۡتُونَ أَفۡوَاجً۬ا (١٨) وَفُتِحَتِ ٱلسَّمَآءُ فَكَانَتۡ أَبۡوَٲبً۬ا (١٩) وَسُيِّرَتِ ٱلۡجِبَالُ فَكَانَتۡ سَرَابًا (٢٠)
17. Sesungguhnya hari Keputusan adalah suatu waktu yang ditetapkan, 18. Yaitu hari (yang pada waktu itu) ditiup sangsakala lalu kamu datang berkelompok-kelompok, 19. Dan dibukalah langit, Maka terdapatlah beberapa pintu, 20. Dan dijalankanlah gunung-gunung Maka menjadi fatamorganalah ia.
Di dalam ayat-ayat ini Allah S.W.T. menerangkan bahawa hari kebangkitan itu pasti terjadi pada waktu yang telah ditetapkan. Kedatangannya tidak boleh diundurkan atau dimajukan. Tidak ada seorangpun yang mampu mengetahui kedatangannya kecuali hanya Allah S.W.T.
Hari tersebut dinamakan dengan hari keputusan kerana pada hari itu manusia akan diputuskan atau dipisahkan sesuai dengan amalan mereka masing-masing ketika diatas permukaan bumi.
Seterusnya Allah S.W.T. menyebut tiga ciri-ciri khas hari tersebut, iaitu: 5
1. Pada hari itu akan ditiup sangkakala dan manusia akan bangun dari kuburan dan mereka datang berkelompok-kelompok. Ini sebagaimana firman Allah di dalam Al-Qur’an yang ertinya : (Ingatlah) suatu hari (yang dihari itu) Kami panggil tiap umat dengan pemimpinnya. (Al-Israa’ 17:710
2. Langit akan terbuka dan akan terdapatlah beberapa pintu. Ini bermakna sistem alam ini telah berubah. Ini sebagaiman firman Allah yang ertinya : Apabila langit terbelah (Al-Infithar / 82 : 1). Ketika itu alam dunia sudah tidak ada lagi persenyawaan di antar satu bahagian dengan bahagian yang lain.
3. Gunung-gunung akan hancur bertaburan seperti bulu beterbengan yang jika dilihat dari jauh bagaikan bayangan air tetapi jika didekati ternyata tidak ada apa-apa (fatamorgana). Ini sebagaimana firman Allah: Dan gunung-gunung seperti bulu yang dihambur-hamburkan. ( Al-Qari’ah /101 : 5)
KESIMPULAN :
1. Musyrikin Mekkah saling bertanya tentang berita besar iaitu hari kebangkitan sesudah mati. Kebanyakan mereka tidak percaya ada kehidupan sesudah mati. Sedangkan di dalam ajaran Islam percaya atau iman kepada hari akhirat atau kebangkitan termasuk salah satu cabang rukun iman yang utama setelah iman kepad Allah.
2. Allah mengemukakan sembilan tanda-tanda kekuasaan-Nya agar dijadikan bahan pemikiran oleh manusia sehingga menimbulkan keyajinan bahawa hari kebangkitan pasti akan datang.
3. hari keputusan pasti akan datang. Pada hari itu manusia akan diputuskan atau dipisahkan berdasarkan amalan mereka ketika di dunia.
1. Tafsir Al-Qur’an Al-‘Azim ; Imam Ibn Kathir; IV / 488
2. Al-Tafsir Al-Munir; Prof. Wahbah Al-Zuhaili; XXX / 10
3. Aisar Al-Tafaasiir; Syeikh Abu Bakar Al-Jazaairi; V / 501
4. Gharaaib al-Qur’an Fii Raghaaib Al-Furqan ; Al-Naisaburi; XXX / 7
5. Al-Tafsir Al-Munir; ; Prof. Wahbah Al-Zuhaili; XXX / 17
[ kembali ]