Get Adobe Flash player

JOM! WAKAF SMITA (PUTERI)


Pertubuhan Kebajikan Al-Nidaa’ Malaysia (Al-Nidaa’) bergiat aktif dalam bidang dakwah dan kebajikan sejak ia ditubuhkan pada 2001 di bawah Akta Pertubuhan.Dalam usaha untuk mencapai matlamat dan misinya, Al-Nidaa’ menggabungkan konsep dakwah, Amar Ma’ruf Nahi Mungkar dan Tajdid (Penekanan pada pembaharuan mengikut Al-Quran dan Sunnah). Al-Nidaa’ mensasarkan pendidikan sebagai wadah menyebar luaskan Islam. Sebagai permulaan Al-Nidaa’ telah mengorak langkah dengan memulakan sebuah sekolah KAFA (Kelas Agama Fardhu Ain) yang pertama iaitu Mutiara Kafa Learning Centre (MKLC) di Mutiara Damansara, Selangor pada Januari 2008.

Pada tahun 2011, Al-Nidaa’ memberanikan diri membuka sebuah Sekolah Menengah Islam Tahfiz Al-Amin (SMITA) di Chenderong Balai, Teluk Intan, Perak. Alhamdulillah, Al-Nidaa’ maju setapak lagi dalam bidang pendidikan. Setelah tertubuhnya MKLC dan SMITA (Putera) Al-Nidaa’ kini telahpun membuka dua buah sekolah lagi iaitu Mutiara Integrated Primary School (MIPS) dan Sekolah Menengah Islam Tahfiz Al-Amin (SMITA) (Puteri).

Namun demikian penempatan SMITA (Puteri) ini adalah bersifat sementara. Al-Nidaa’ merancang untuk membina kompleks SMITA (Puteri) di atas tanah wakaf seluas 2.5 ekar di Lot 2920, Mukim Hulu Langat, Selangor, kira-kira 35km dari Kuala Lumpur dan merupakan satu lokasi yang strategik dan kondusif untuk didirikan sebuah sekolah. Selaras dengan misi Al-Nidaa’ untuk memperkasakan syiar dan komuniti Islam, Al-Nidaa’ memperkenalkan Skim Wakaf untuk mengumpul dana bagi merealisasikan pembinaan sekolah tersebut. Skim Wakaf ini adalah lanjutan daripada program makan malam (Charity Dinner) bagi mengumpul dana untuk SMITA (Puteri) yang telah diadakan pada 18 Januari 2016 di Pusat Konvensyen Shah Alam, Selangor.

Projek Skim Wakaf ini akan dijalankan selama lebih kurang 3 tahun sehingga terbina SMITA (Puteri). Seperti SMITA Putera, sekolah yang dicadangkan ini akan menawarkan pendidikan Akademik dan Diniah yang seimbang dengan penekanan kepada kemahiran berfikir dan berkomunikasi, pemahaman dan penghayatan Islam yang berlandaskan Al-Quran dan Sunnah serta pembinaan akhlak mulia, berfikiran terbuka, dan minda tajdid. Selain menyediakan landasan yang betul dalam pengkhususan agama, sekolah ini juga akan memberi peluang kepada pelajar yang berminat dalam bidang profesional seperti perubatan, kejuruteraan, senibina, dan seumpamanya.

Pelajar tingkatan satu akan mengikuti kursus intensif Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris dalam tempoh enam bulan pertama. Selepas itu semua mata pelajaran Diniah akan diajar dengan menggunakan Bahasa Arab sebagai bahasa pengantar. Bahasa Inggeris pula sebagai bahasa pengantar subjek akademik. Selain itu pemahaman Islam akan diterapkan melalui penekanan terhadap amalan ibadah harian yang merangkumi akhlak, sejajar dengan “Islam as a way of life”. Kos pembinaan kompleks sekolah itu yang mampu menampung kira-kira 380 pelajar dianggarkan RM15 juta.

Kami mengalu-alukan tuan/puan mengambil peluang ini untuk memperbanyakkan amal jariah dengan berwakaf sambil menggalakkan keluarga serta rakan taulan untuk sama-sama berwakaf.

Sebagaimana firman Allah (SWT) dalam Surah Al-Maaidah ayat 2:

“...Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa..”

dan Surah Al-Baqarah ayat 261:

"Perumpamaan (Nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan 7 bulir, pada tiap-tiap bulir 100 biji. Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi sesiapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha luas (Kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui."

JazzakaAllahu Khair