Get Adobe Flash player

Tahniah SMITA (Perak) Atas Kejayaan !

14 Mac 2016/ 5 Jamadilakhir 1437H

Assalamualaikum W.B.T

Di doakan agar DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Raja Muda Perlis berada dalam cucuran rahmat Allah dan taufiq hidayah Nya. Alhamdulillah, sekolah kami SMITA (Perak) mencapai sedikit kejayaan baru-baru ini dan saya ingin menyampaikan berita baik itu kepada DYTM Tuanku, sebagai Penaung Al-Nidaa’ Saya sertakan bersama ini Siaran Akhbar kami yang dimuatkan dalam
Laman Web Bernama pada 11 Mac 2016.

Di atas kerjasama En. Asrul saya dahulukan ucapan ribuan terima kasih.

Yang benar,

 

_________________________
Zainuddin Alang Mamat
Setiausaha Kerja

 


 

Surat Jawapan DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail:

Tuan Haji,
 
Dengan segala hormatnya saya merujuk kepada emel di bawah.
 
2.      Sukacita dimaklumkan bahawa emel dan surat berkaitan telah dipersembah maklumkan kepada DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis. Sehubungan dengan itu, saya telah dititah untuk memaklumkan kepada Tuan Haji bahawa Baginda mengucapkan tahniah dan berbangga di atas kejayaan yang dikecapi. Besarlah harapan Baginda agar pencapaian baik dalam peperiksaan Thanawi khasnya dapat dikekalkan pada masa hadapan dan berdoa agar pelajar-pelajar ini kelak akan menjadi seorang profesional yang disegani sepertimana yang diimpikan.
 
Sekian dimaklumkan, terima kasih.
 
 
Asrul Nizwan bin Mohamad
Setiausaha Sulit Kepada
DYTM Tuanku Raja Muda Perlis

 


 

Berita:

SMITA sekolah agama rakyat terbaik dalam peperiksaan Thanawi 2015

Sekolah Menengah Islam Tahfiz Al-Amin (SMITA) mencatat sejarah apabila pelajar-pelajar Tingkatan 4 tahun 2015 telah meletakkan sekolah itu nombor satu di kalangan sekolah agama rakyat dan nombor dua di kalangan semua sekolah di negeri Perak yang menduduki peperiksaan Thanawi (peperiksaan awam bagi pelajar diniah Azhariah dalam Bahasa Arab sepenuhnya) tahun lalu.

16 dari jumlah 21 orang pelajar SMITA mencapai status Mumtaz (Cemerlang Tertinggi), iaitu ranking tertinggi dalam peperiksaan itu sementara 4 orang mendapat Jaid Jiddan (Amat Baik) dan seorang lagi Jaid (Baik).

Ditubuhkan pada 2012, SMITA memasukkan pelajarnya ke peperiksaan Thanawi ini buat kali pertama dalam bulan Oktober 2015 melibatkan 21 orang pelajar Tingkatan 4 sulungnya.

Bagi pelajaran agama Islam, SMITA telah memilih Kurikulum Azhariah iaitu sukatan pelajaran sekolah menengah yang disediakan oleh Universiti Al-Azhar , yang dianjurkan oleh Jabatan Agama Islam Perak. Sejumlah 42 buah sekolah di negeri Perak menduduki peperiksaan Thanawi tahun lalu terdiri dari Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (Kementerian Pendidikan), Sekolah Menengah Agama Negeri dan Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridhuan (kedua-dua jenis kepunyaan negeri Perak) dan Sekolah Menengah Agama Rakyat (Swasta), termasuk SMITA. Di antara sekolah yang telah bertapak lama dan terkenal termasuk Sekolah Izzuddin Shah dan Sekolah Raja Perempuan Taayah, Ipoh.

Pihak pengurusan SMITA bersyukur diatas pencapaian pelajar-pelajarnya dan telah mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada pelajar-pelajar dan guru-guru di atas usaha-usaha gigih mereka dan kepada ibubapa atas sokongan dan doa mereka.

Untuk keterangan lanjut sila hubungi:
Hj. Zainuddin Alang Mamat
Setiausaha Kerja