Get Adobe Flash player

Hukum-hakam Anak Yang Baru Lahir

 
١) عَنْ أَبِى رَافِع أَنَّهُ قَالَ: رَأَيْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَذَّنَ فِى أُذُنِ اْلحَسَنِ بْنِ عَلِىٍّ حِيْنَ وَلَدَتْهُ فَاطِمَةُ.
 
 
٢) عَنْ أَبِى مُوْسَى أنَّهُ قَالَ: وُلِدَلِيْ غُلاَمٌ فَأتَيْتُ بِهِ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَسَمَّاهُ اِبْرَاهِيْمَ وَحَنَّكَهُ بِتَمْرةٍ، وَدَعَا لَهُ بِاْلَبَرَكَةِ، وَدَفَعَهُ إِليَّ
 
Terjemahan:
 
1.       Daripada Abi Raafi’, katanya: “Aku pernah melihat Rasulullah (sallallahu alayhi wasalam) mengazankan pada telinga Hasan Bin ‘Ali ketika ia dikahirkan oleh Fatimah”.
 
(Hadis Sahih Riwayat Abu Daud dan Tarmizi)
 
2.       Daripada Abu Musa, katanya: Aku mendapat anak lelaki, lalu aku bawa dia kepada Nabi (sallallahu alayhi wasalam) dan baginda namakan dia dengan Ibrahim dan mentahnikkannya dengan sebijik kurma. Imam Bukhari menambahkan: Nabi (sallallahu alayhi wasalam) doakan untuknya keberkatan, kemudia baginda serahkan dia kembali kepadaku”.
 
(HR Bukhari dan Muslim)
 
Mukaddimah:
 
Sebagai agama yang lengkap lagi sempurna, Islam telah menetapkan beberapa amalan yang patut dilakukan oleh orang tua ketika anak mereka baru dilahirkan. Mudah-mudahan dengan mengikuti panduan-panduan yang telah ditetapkan oleh Islam maka anak-anak atau cucu-cicit kita akan menjadi anak-anak yang saleh. Lebih-lebih lagi kita yang sedang berada di zaman yang serba mencabar ini.
 
Berikut ini akan dipaparkan beberapa hukum-hakam agama yang berkaitan dengan anak-anak yang baru dilahirkan:
 
 
1.       Ucapan Bisyarah Atau Tahniah
 
Umat Islam disunatkan untuk mengucapkan bisyarah (menyampaikan berita yang menggembirakan kepada seseorang) atau mengucapkan tahniah jika ia luput memberi bisyarah, iaitu dengan mendoakan kebaikan untuknya setelah dia mengetahui, khususnya apabila ia akan ataupun sudah mendapat cahaya mata. Faedahnya antara lain supaya rakannya merasa gembira dan menambah erat persahabatan dan silaturrahmi.
 
Di dalam Al-Quran dan dalam Hadis sungguh banyak kisah tentang hal ini, umpamanya Firman Allah (yang bermaksud):
 
Hai Zakaria, sesungguhnya Kami menyampaikan berita gembira kepadamu akan (beroleh) seorang anak yang namanya Yahya, dan sesungguhnya Kami belum pernah menciptakan orang yang serupa dengan dia. [Maryam 7]
 
Dalam kitab sirah diriwayatkan bahwa:
 
“Ketika Nabi (sallallahu alayhi wasalam dilahirkan, Thuaibah (hamba Abu Lahab) telah menyampaikan berita gembira kepada tuannya Abu Lahab bahwa Abdullah telah mendapat seorang anak lelaki. Lalu Abu Lahab pun memerdekakan Thuaibah ketika itu juga karena merasa sangat gembira dengan berita tersebut. Allah tidak sia-siakan ganjaran itu untuknya”. (Lihat kitab: Tarbiatul Awlad – Nashih ‘Alwany I / 68-69).
 
 
2.       Ta’zin Dan Iqamah
 
Dan di antara amalan yang sangat digalakkan Islam ialah mengazankan pada telinga kanan bayi serta mengiqamahkan pada telinga kirinya. Ini berdasarkan dalil hadis bab di atas.
 
Dan diriwayatkan dari Ibnu Abbas ra bahwa Rasulullah (sallallahu alayhi wasalam) telah mengazankan pada telinga kanannya Al-Hasan Bin Ali pada hari lahirnya dan mengiqamahkan pada telinga kirinya.
 
Adapun rahasia di balik amalan tersebut ialah sebagaimana dinyatakan dalam kitab: Tuhfatul Maudud, halaman 21:
 
a.       Mengawali pendengaran bayi dengan kalimah Tauhid ketika ia mula-mulamemasuki alam dunia sebagaimana kita juga disuruh mengajarkannya ketika akan keluar daripada alam ini.
 
b.       Mengusir syaitan dan melemahkan tipudayanya.
 
c.       Supaya kita awali dakwah (mengajaknya) ke jalan Allah dan agamaNya mendahului ajakan syaitan. Ini sebagaimana fitrah Allah (tauhid) pada setiap insan sejak lahir lagi sebelum ia dirobah oleh syaitan.
 
Apa yang dinyatakan oleh Ibnu Al-Qayyim di atas menjadi dalil yang sangat besar dan jelas betapa Rasulullah (sallallahu alayhi wasalam) mengutamakan aspek Akidah, Tauhid dan Iman. Dan sekaligus mengusir syaitan dan kehendak hawa nafsu sejak permulaan perjalanan di alam dunia ini lagi.
 
 
3.       Tahnik
 
Tahnik maknanya menggosok kunyahan tamar dengan telunjuk kanan pada gusi dan langit-langit bayi yang baru lahir. Gerakan ke kiri dan ke kanan bahagian dalam mulut bayi hendaklah dilakukan dengan lembut sehingga sampai manisan korma itu ke semua bahagian dalam mulut. Jika tidak ada korma (tamar), boleh juga digunakan benda-benda manis lainnya seperti madu.
 
Dan di antara hikmah tahnik ini ialah supaya memperkuat otot-otot mulut, gusi dan langit-langit bayi yang tidak lama kemudian akan menghisap dan menyedut keluar susu ibunya.
 
Dan adalah afdhal (lebih baik) jika yang melakukan tahnik ini orang yang dipandang lebih taqwa dan lebih saleh sebagai mengambil keberkatan dengan harapan semoga bayi tersebut kelak juga memiliki sifat-sifat yang terpuji. Dan mungkin atas dasar inilah para sahabat banyak yang meminta jasa baik Rasulullah (sallallahu alayhi wasalam) untuk mentahnikkan anak-anak mereka yang baru lahir sebagaimana diberitakan dalam hadis.
 
 
4.       Tahliq
 
Tahliq maknanya mencukur habis rambut bayi hingga botak samada bayi lelaki atau bayi perempuan. Sebaiknya tahlig ini dilakukan pada hari yang ketujuh daripada kelahiran. Rambut tersebut hendaklah ditimbang dengan emas atau perak atau wang yang kemudian jumlah itu disedekahkan kepada fakir miskin.
 
 
a.       Hikmah Kesehatan:
Pencukuran itu dapat memperkuat penglihatan, penciuman dan pendengaran bayi serta dapat menghilangkan keracunan pada pori-pori rambutnya. (Lihat kitab: Tuhfatul Maudud dan Tarbiyah Al-Awlaad).
 
 
b.       Hikmah Kemasyarakatan:
 
Bersedekah sejumlah wang yang ditimbang sama berat dengan rambut bayi itu kepada fakir miskin atau sesiapa yang berhak menerimanya mengandungi unsur-unsur kemasyarakatan. Diharapkan semoga setelah bayi itu dewasa kelak ia akan menjadi manusia yang dermawan dan suka menolong anggota masyarakat yang kurang bernasib baik.
 
Daripada Anas Bin Malik ra katanya: Sesungguhnya Rasulullah (sallallahu alayhi wasalam) menyuruh agar mencukur kepala Hasan dan Husin pada hari ketujuh kelahiran mereka, lalu mereka pun dicukur; dan selanjutnya disedekahkan perak seberat rambut itu.
(HR Yahya Bin Bakir)
 
Dan dalam hal ini Rasulullah (sallallahu alayhi wasalam) telah melarang Al-Qaza’ iaitu mencukur sebahagian kepala dan meninggalkan sebahagian yang lain.
 
Daripada Abdullah Bin Umar ra katanya: Rasulullah (sallallahu alayhi wasalam) telah melarang daripada Al-Qaza’. (HR Bukhari dan Muslim)
 
Al-Qaza’ mencakupi empat jenis:
 
i.         Menggunting rambut bayi sejemput sini dan sejemput sana (tidak teratur)
ii.       Menggunting atau mencukur bahagian tengah kepala bayi dan membiarkan rambut bahagian tepi kiri dan tepi kanannya.
iii.      Menggunting atau mencukur bahagian tepi kiri dan kanan, tetapi membiarkan bahagian tengahnya.
iv.      Menggunting atau mencukur bahagian depan kepala bayi dan membiarkan bahagian belakangnya atau sebaliknya (jambul)
 
 
Kesimpulan:
 
1.       Di antara amalan yang digalakkan oleh Islam ketika bayi baru lahir ialah: (Bisyarah atau Tahniah, Azan dan Iqamah, Tahnik dan Tahliq. (Akikah-Tasmiah-Khitan akan menyusul).
 
2.       Walaupun amalan di atas hanya sunat hukumnya, namun umat Islam tidak wajar mengabaikannya. Lebih-lebih lagi dalam menghadapi dunia yang serba mencabar ini. Semoga dengan melakukan sunah-sunah Nabi tersebut anak-anak kita akan menjadi anak-anak yang saleh dan dilindungi Allah.
 
3.       Segala panduan-panduan yang datang daripada Rasulullah (sallallahu alayhi wasalam) pasti baik. Termasuklah bagaimana cara kita membentuk anak sejak kecil lagi agar mereka menjadi anak-anak yang saleh.
 

Pendaftaran Hari keluarga Al-Nidaa 2014

Program Candat Sotong di Marang Terengganu

25-27 Mei 2014(Ahad-Selasa) Registration Open
 
 
I agree with your terms and conditions
Registration Close 10 Mei 2014
powered by fox contact